Jakarta: Hampir 2.9 juta hektar tanah di Indonesia terjejas akibat kebakaran sepanjang Januari hingga Oktober tahun ini, termasuk ribuan hektar kawasan konsesi milik syarikat besar yang mengusahakan ladang kelapa sawit dan tanaman kayu pulpa.
Kajian bersama Rainforest Action Network (RAN) dan platform pemantauan geografi, Nusantara Atlas, mendapati kebakaran itu berlaku ketika Indonesia berdepan fenomena El Niño yang kuat dan suhu ekstrem, selain kegiatan pembukaan hutan bagi pembangunan ladang kelapa sawit serta kayu pulpa berskala industri.
Jumlah kawasan terjejas mencecah 2.88 juta hektar (7.1 juta ekar), menjadikan musim kebakaran tahun ini antara yang terburuk di Indonesia dalam tempoh beberapa tahun.






