KUALA LUMPUR: Isetan Kuala Lumpur memberi tumpuan kepada kecantikan dan kesejahteraan sebagai antara landasan untuk kekal relevan dengan perubahan gaya hidup pelanggan selepas rangkaian gedung serbaneka Jepun itu mencapai usia 140 tahun.
Pendekatan berkenaan diterjemahkan menerusi Pesta Kecantikan Isetan 2026 yang pertama kali dianjurkan, menghimpunkan 100 produk kecantikan dalam Pameran Kemasyhuran di Isetan KLCC dan Isetan The Gardens dari 13 hingga 29 November 2026.
Isetan Kuala Lumpur dalam satu kenyataan berkata, pilihan produk berkenaan merangkumi penjagaan kulit, kosmetik, penjagaan rambut dan wangian, selain mengetengahkan inovasi, kepakaran serta warisan di sebalik penghasilannya.
Penganjuran festival berkenaan memperlihatkan usaha Isetan memperluas pengalaman pelanggan melangkaui urusan membeli produk kerana kecantikan kini turut dikaitkan dengan kesejahteraan, keyakinan, ekspresi diri dan pilihan harian.






