Putrajaya: Pelaksanaan tahanan rumah terhadap Datuk Seri Najib Razak tidak boleh dianggap melampaui undang-undang (ultra vires) kerana ia berlandaskan kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong mengikut Perlembagaan Persekutuan.
Pakar perlembagaan, Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, kuasa pengampunan, pengurangan serta peringanan hukuman adalah hak prerogatif Yang di-Pertuan Agong.
Beliau berkata, pelaksanaannya perlu dilihat berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, proses itu tidak boleh dinilai semata-mata berdasarkan peruntukan undang-undang jenayah kerana kuasa pengampunan sebahagian daripada bidang kuasa yang diberikan secara khusus kepada Yang di-Pertuan Agong oleh perlembagaan.








