KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata Mesyuarat Jemaah Menteri pagi tadi berjalan seperti biasa tanpa sebarang masalah walaupun suhu politik negara dilihat sedang panas ketika ini.

Perdana Menteri, menyifatkan turun naik suhu politik adalah perkara biasa, terutama ketika berlangsungnya pilihan raya, namun ia tidak menjadi sebab untuk Jemaah Menteri mengenepikan isu negara dan rakyat.

"Bila ada pilihan raya, suhunya naik sekejap, kemudian turun balik tapi jika mesyuarat tadi, biasa dan tidak saya kesan apa-apa masalah, selain ketidakhadiran Menteri Pengangkutan (Anthony Loke Siew Fook) yang sudah meletak jawatan.

"Dalam mesyuarat Jemaah Menteri, kedua-dua Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof) hadir, Menteri-Menteri hadir dan perbincangan kita fokus mengenai pembangunan dan kemudahan rakyat," katanya.