JASIN - Sebanyak RM755,390 diperuntukkan menerusi Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) bagi melaksanakan pelbagai inisiatif pendidikan di 21 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di seluruh Melaka.Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan berkata, peruntukan itu merangkumi Bantuan Perabot Madani, penyediaan papan pintar (smartboard) dan Kalvi Madani bagi meningkatkan kemudahan pembelajaran murid.Beliau berkata, inisiatif itu merupakan sebahagian daripada pendekatan menyeluruh kerajaan dalam memastikan akses pendidikan dan teknologi dapat dinikmati semua pelajar."Kita melihat keseluruhan ekosistem pendidikan, yang bukan hanya tertumpu kepada sekolah sahaja sebaliknya prasekolah, tadika hingga institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS)."Inisiatif ini memberi peluang dan akses kepada pelajar terhadap penguasaan teknologi dan digital demi meningkatkan kualiti pendidikan," katanya ketika ditemui pada lawatan kerja beliau di SJKT Ladang Jasin Lalang di sini pada Khamis.Mengulas mengenai permasalahan 100 pekerja Media Mulia Sdn Bhd melibatkan akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo!, Ramanan berkata, kerajaan menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menyediakan bantuan kewangan sehingga enam bulan kepada pekerja yang terjejas.Katanya, bantuan berkenaan diberikan secara berperingkat mengikut kadar tertentu bagi membolehkan penerima meneruskan kehidupan sementara mencari pekerjaan baharu."Inisiatif ada dibawah PERKESO bagi mana-mana kes kehilangan pekerjaan."Selain itu, melalui portal MYFutureJobs di bawah juga, kita mempunyai hampir 400,000 peluang pekerjaan yang boleh dimanfaatkan rakyat Malaysia"Peluang itu ada dan bantuan sememangnya disediakan malah, Kementerian Komunikasi juga dalam proses mencari satu jalan penyelesaian," katanya.Sebelum ini, Media Mulia Sdn Bhd sedang melaksanakan penilaian strategik terhadap model perniagaan, struktur operasi dan hala tuju syarikat melibatkan pelaksanaan Program Cuti Berbayar ke atas hampir 100 pekerjanya.Sementara itu, mengulas perkembangan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, beliau berkata, momentum kempen dilihat semakin meningkat menjelang hari pengundian.Bagaimanapun, beliau berpandangan suasana politik di negeri itu setakat ini masih terkawal."Setakat ini saya lihat politik di Melaka tidak ada yang kecam-mengecam."Kalau kita lihat fitnah di Kuala Lumpur banyak, tetapi di Melaka ini kurang sedikit, agak tenang," katanya.