Kuala Lumpur: Bekas pembantu penyelidik ahli politik, Muhammed Yusoff Rawther akan memberi keterangan pada hari pertama praperbicaraan bagi menentukan beberapa isu dalam kes saman sivilnya, pada 27 Januari tahun depan.

Saman itu difailkan Muhammed Yusoff terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berhubung dakwaan insiden yang berlaku sebelum Anwar menjadi perdana menteri.

Peguam Muhammed Yusoff, Rafique Rashid Ali berkata, anak guamnya bersedia memberikan keterangan menerusi aplikasi Zoom dan media turut dibenarkan mengikuti prosiding secara dalam talian.

Katanya, Hakim Mahkamah Tinggi sama, iaitu Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan yang akan mendengar kes itu, membenarkan media mengikuti prosiding perbicaraan menerusi aplikasi Zoom.