Gua Musang: Hujan lebat tiga jam menyebabkan banjir termenung kembali melanda laluan Taman Kesedar Putra menghala ke Taman Kesedar Jaya di sini, sehingga penduduk terpaksa menggunakan jalan jauh untuk keluar dari penempatan mereka.
Sebelum ini penduduk terpaksa berdepan masalah sama pada 10 Oktober lalu sebelum ia pulih.
Kejadian dipercayai berpunca aliran air yang tersekat kerana kerosakan sistem perparitan susulan kejadian lubang benam di kawasan berhampiran sebelum ini.
Pengguna jalan, Ahmad Tarmizi Dollah Ahmad, 60, berkata, banjir termenung itu sudah berulang tiga kali sejak hampir sebulan lalu dan mengambil masa antara lima hingga lebih 10 hari untuk surut sekiranya tiada kerja mengepam air dilakukan.










