PETALING JAYA: Hujan lebat berterusan sejak awal pagi tadi menyebabkan beberapa laluan utama serta kawasan di Selangor dilaporkan terjejas susulan banjir kilat.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ashrul Riezal Asbar berkata, beberapa kawasan terjejas banjir kilat meliputi Sungai Buloh, Paya Jaras, Kampung Melayu Subang, Rawang serta beberapa lokasi di sekitar Shah Alam.

“Pasukan bomba kini sedang giat melakukan pemantauan di lapangan,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam perkembangan berkaitan, situasi banjir kilat di lebuh raya utama mula menunjukkan trend surut, termasuk di persimpangan Shah Alam menerusi pemantauan kamera litar tertutup (CCTV) Pusat Pengurusan Trafik Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).