KUALA LUMPUR: Pemisahan kuasa atau peranan Peguam Negara dengan Pendakwa Raya perlu mendapat sokongan sekurang-kurang 148 Ahli Parlimen bagi memastikan reformasi itu diterima sebagai kepentingan bersama dan bukannya agenda mana-mana parti politik.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata sokongan merentasi parti adalah penting bagi mengelak proses pendakwaan dipersoalkan sebagai bermotif politik apabila berlaku pertukaran kerajaan.

Beliau berkata, pemisahan peranan Peguam Negara dengan Pendakwa Raya perlu melangkaui kepentingan politik kerana manfaatnya turut dinikmati pihak berkenaan serta ahli politik, terutama apabila berlaku perubahan kepemimpinan negara.