KOTA BHARU – Seorang guru didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang murid lelaki Tahun Lima di dalam bilik warden asrama sebuah sekolah rendah di Dabong, Kuala Krai pada tahun lalu.
Tertuduh, Mohd. Faiz Rohizat, 34, yang juga merupakan warden asrama sekolah tersebut bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Mengikut kedua-dua pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun ketika kejadian di dalam sebuah bilik warden asrama di sebuah sekolah rendah di Dabong, Kuala Krai dekat sini kira-kira pukul 1 tengah hari pada April 2025 dan 4 petang pada September 2025.










