Keadaan banjir kilat yang menjejaskan beberapa laluan termasuk Seksyen 13, Setia Alam dan Seksyen 22 di Shah Alam pada pagi tadi. (Gambar Threads)SHAH ALAM: Beberapa kawasan di sekitar Shah Alam dilanda banjir kilat susulan hujan lebat berterusan awal pagi tadi, menyebabkan beberapa laluan utama dinaiki air dan menjejaskan pergerakan kenderaan.

Perkongsian pengguna menerusi aplikasi Threads memaparkan keadaan banjir di beberapa lokasi, termasuk Seksyen 13, Setia Alam dan Seksyen 22.

Seorang pengguna Threads, slyuza memaklumkan kawasan di hadapan pusat beli-belah Giant di Seksyen 13 dinaiki air, sekali gus mengingatkan pengguna jalan raya supaya berhati-hati ketika melalui laluan berkenaan.

Seorang lagi pengguna, amiruddinsya_ berkongsi maklumat pada 5 pagi bahawa laluan Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE) antara Setia Alam dan Shah Alam, bagi kedua-dua arah, ditutup akibat banjir.