KUALA LUMPUR: Dua filem ikonik kisah percintaan abadi, Ada Apa Dengan Cinta? (AADC) dan Ada Apa Dengan Cinta? 2 (AADC2) kembali menemui peminat menerusi platform penstriman Tonton.

Selepas 24 tahun, kisah Cinta dan Rangga masih menjadi antara pasangan ikonik dalam filem romantik Indonesia, dengan perjalanan cinta mereka yang terus menghidupkan kembali debaran cinta pertama.

Siapa yang boleh melupakan puisi Rangga, persahabatan Cinta bersama gengnya selain kisah dua insan yang menemukan cinta dalam keadaan tidak terduga?

Dibintangi Dian Sastrowardoyo dan Nicholas Saputra, AADC (2002) memperkenalkan penonton kepada sebuah kisah yang bukan sekadar tentang cinta pertama, malah turut mengangkat persahabatan, pengorbanan dan perasaan yang sukar diluahkan.