KUALA LUMPUR: Syarikat kecil dibebani hutang tetapi masih mempunyai aset dan potensi perniagaan berdaya maju berpeluang meneruskan operasi menerusi mekanisme penyusunan semula kewangan yang akan dikaji kerajaan mulai 2027.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata Jabatan Insolvensi akan meneliti model seumpama Chapter 11 di Amerika Syarikat (AS) bagi menyokong syarikat bermasalah kewangan menyusun semula operasi dan kewajipan hutang tanpa perlu menghentikan perniagaan.

Katanya, pendekatan itu bertujuan memberi peluang kepada perniagaan masih berdaya maju untuk pulih, selain melindungi kepentingan pemiutang dan memastikan peluang pekerjaan tidak terjejas.