KUALA LUMPUR: Kuching City FC boleh dianggap berada dalam keadaan terdesak untuk meraih kemenangan pertama di pentas Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) apabila melayan kunjungan Gangwon FC di Stadium Taha Ariffin, Kuching, malam esok.
Bukan sahaja memburu kemenangan pertama dalam saingan peringkat Asia itu, malah skuad The Cats turut membawa misi besar untuk menamatkan rentetan kekalahan tiga kali berturut-turut dalam tiga aksi terakhir mereka.
Pasukan kendalian Aidil Sharin Sahak itu tewas 2-3 kepada DPMM FC dalam saingan Liga Super sebelum tunduk 1-2 kepada Selangor ketika aksi separuh akhir pertama Piala FA, 23 Oktober lalu.
Impian mereka untuk menamatkan rekod kekalahan itu dan meraih kemenangan pertama dalam ACL2 juga tidak kesampaian apabila tewas tipis 0-1 kepada Gangwon di Stadium Gangneung, Khamis lalu.









