KUALA LUMPUR: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan terus memperkukuh pembangunan teknologi keselamatan siber negara bagi membendung risiko serangan, khususnya terhadap maklumat sensitif dan kepentingan strategik.
Menterinya, Datuk Chang Lih Kang, berkata langkah itu penting susulan peningkatan ancaman serangan siber bukan saja di Malaysia, malah di seluruh dunia.
Meskipun serangan siber tidak boleh dielakkan sepenuhnya, beliau berkata, usaha perlu terus dipertingkatkan bagi memastikan maklumat penting negara tidak terdedah kepada ancaman berkenaan.
"Secara jujurnya, saya rasa kita tidak boleh mengelakkan serangan siber 100 peratus, tetapi sekurang-kurangnya kita perlu memastikan perkara sensitif dan penting kepada negara tidak terdedah kepada risiko serangan siber," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Cradle LIVE! Summit 2026 di The Arch Gallery, di sini hari ini.








