KUALA LUMPUR: Pendedahan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berhubung ada pengimport memanipulasi pengisytiharan import disifatkan membimbangkan, kata pemain industri maritim yang menggesa tindakan susulan diambil termasuk oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Datuk Seri R Jeyenderan berkata pendedahan oleh Ketua Pengarah Kastam, Datuk Amran Ahmad mengenai pengisytiharan nilai, berat dan kuantiti barangan yang didakwa lebih rendah daripada sebenar perlu diambil serius.
Beliau berkata, ini kerana ia bukan sahaja berpotensi menyebabkan kerajaan kehilangan hasil, malah menimbulkan persoalan mengenai ketepatan rekod dan pergerakan sebenar kargo.
Katanya, pihaknya pada 5 Jun lalu ada membuat laporan kepada SPRM berhubung isu sama iaitu percanggahan antara bil buatan dengan pergerakan fizikal dua kargo Atlanta Crude bernilai lebih RM220 juta dipunggah di Pelabuhan Tanjung Langsat, Johor.








