Kudat: Cubaan membawa petrol, barangan kawalan serta baja ammonium nitrat tanpa kebenaran terbongkar selepas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah bot kargo di perairan Dogoton, Pulau Banggi, hari ini.

Empat individu termasuk tiga warga Filipina berusia antara 20 hingga 30 tahun turut ditahan dalam operasi yang membawa kepada rampasan bot dan barangan dianggarkan bernilai RM150,000.

Pengarah Maritim Zon Kudat, Komander Maritim Hasbullah Omar berkata, bot berkenaan ditahan kira-kira 0.4 batu nautika tenggara Dogoton hasil maklumat risikan yang diperoleh pihaknya.

Katanya, pemeriksaan mendapati bot kargo berkenaan dikendalikan empat individu terdiri daripada seorang warga Malaysia dan tiga warga Filipina.