TANJUNG MALIM: Sebanyak 472 pencalonan dari 83 negara diterima bagi Global Educator Award (GEA) 2026 anjuran Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Daripada jumlah itu, seramai 26 penyertaan terpilih ke peringkat akhir yang berlangsung hari ini sebelum majlis penyampaian anugerah diadakan pada malam ini di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI.
Anugerah berkenaan akan disampaikan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim, yang juga Canselor UPSI.
Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff, berkata GEA bukan sekadar platform mengiktiraf sumbangan dan kecemerlangan pendidik, malah menjadi medan perkongsian ilmu, kepakaran serta pengalaman dalam usaha memperkasa bidang pendidikan di peringkat global.










