TANJONG MALIM: Kumpulan koir deVokalis Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengharumkan nama universiti dan negara apabila muncul juara kategori Pop dan A Cappella pada Busan Choral Festival & Competition 2026 di Busan Cinema Centre, Korea Selatan, baru-baru ini.
Naib Canselor UPSI Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, kejayaan itu turut menyaksikan kumpulan berkenaan meraih anugerah Gold Diploma Award dalam kategori Pop dan A Cappella serta kategori Ethnic & Traditional, sekali gus membuktikan keupayaan bakat seni suara universiti tempatan bersaing di peringkat antarabangsa.
Menurut Md Amin, pertandingan anjuran Korea Choral Institute itu berlangsung selama empat hari dan menghimpunkan kumpulan koir dari lima negara, iaitu Jepun, Korea Selatan, Indonesia, Malaysia dan Burundi.










