PUTRAJAYA: Bekas Undang Luak Sungai Ujong, Datuk Mubarak Thahak, dan lima individu lain gagal menangguhkan prosiding komital selepas Mahkamah Rayuan di sini, hari ini, menolak permohonan mereka sementara menunggu keputusan rayuan.
Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Alwi Abdul Wahab, Datuk Dr Shahnaz Sulaiman dan Datuk Amarjeet Singh Serjit Singh, sebulat suara menolak permohonan itu serta memerintahkan enam perayu membayar kos sebanyak RM60,000 kepada responden, iaitu Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan (DKU) serta Setiausahanya, Raja Norazli Raja Nordin.
Enam individu itu mengemukakan permohonan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Seremban membenarkan DKU dan Raja Norazli untuk memulakan prosiding komital terhadap mereka atas dakwaan melanggar perintah injunksi.








