ALOR GAJAH: Pelabur asing di negara ini perlu mengutamakan syarikat dan tenaga kerja tempatan dalam keseluruhan rantaian nilai pelaburan bagi memastikan pemindahan teknologi serta pembangunan kepakaran dapat dinikmati rakyat.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata pelabur luar bukan sekadar perlu mencari rakan kongsi tempatan, sebaliknya turut memberi peluang kepada syarikat tempatan dalam aspek pembekalan, perkhidmatan dan kegiatan sokongan industri.
Katanya, pelaburan asing perlu disertai usaha melatih tenaga kerja tempatan supaya negara memperoleh manfaat jangka panjang menerusi pemindahan teknologi dan peningkatan kemahiran.
"Saya mengharapkan lebih ramai pelabur luar, apabila melabur di Malaysia, bukan saja mencari rakan kongsi tempatan, tetapi dalam keseluruhan rantaian nilai, daripada pembekalan dan sebagainya, memberi keutamaan kepada orang tempatan.









