ALOR GAJAH: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof menggesa pelabur asing supaya tidak hanya membawa masuk modal dan teknologi sebaliknya terus memperluaskan penglibatan syarikat tempatan serta melaksanakan pemindahan teknologi ke negara ini.

Menurutnya, pelaburan yang berjaya seharusnya meninggalkan sumbangan berkekalan kepada negara tuan rumah termasuk melalui pembangunan pembekal tempatan, peluang dalam bidang kejuruteraan dan latihan tenaga kerja berkemahiran.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, usaha melatih tenaga kerja tempatan amat penting bagi memastikan rakyat Malaysia bukan sahaja mempunyai kemahiran teknikal yang tinggi malah mampu memperoleh peluang pekerjaan yang lebih baik serta meningkatkan pendapatan.