KUALA LUMPUR: Landskap saingan Liga Super musim ini menyaksikan Chrigor Moraes muncul sebagai pemain paling berharga di atas padang apabila menjadi pemain dengan sumbangan jaringan terbanyak setakat ini.
Penyerang Selangor FC (SFC) itu ketika ini mengungguli carta penjaring terbanyak liga dengan sembilan gol dan ditambah tiga bantuan gol, beliau merekodkan 12 sumbangan gol untuk The Red Giants selepas enam perlawanan.
Penggempur Johor Darul Ta'zim (JDT), Shahab Zahedi mengekori rapat dengan kombinasi lapan gol dan satu bantuan gol, membuktikan kredibilitinya sebagai mesin pencetak gol utama Johor Darul Ta'zim bagi musim ini.
Rakan sepasukan Shahab, Bergson da Silva terus mengekalkan reputasi elitnya melalui kombinasi tujuh gol dan dua bantuan gol untuk membentuk gandingan berbisa Harimau Selatan yang sudah meledak 28 gol hanya dalam enam aksi Liga Super.









