KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan akan meningkatkan penempatan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Sabah dan Sarawak sehingga mencapai nisbah 50:50 berbanding Semenanjung bagi memperkukuh kesiapsiagaan pertahanan negara.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata ketika ini lebih 9,000 anggota ATM ditempatkan di Sabah, selain beberapa langkah sedang dilaksanakan bagi meningkatkan keupayaan pertahanan di negeri berkenaan.
Katanya, langkah itu termasuk pemasangan radar pertahanan udara, peningkatan keupayaan radar pesisir pantai serta menaik taraf kem sedia ada bagi memantau perkembangan keselamatan, khususnya di kawasan Laut China Selatan.
"Kerajaan mengakui kebimbangan yang timbul susulan kehadiran tentera asing, khususnya di Laut China Selatan. Bagaimanapun, setiap negara mempunyai hak untuk memperkukuh pertahanan masing-masing.








