MELAKA: Pakatan Harapan (PH) mencadangkan supaya pemilik tanah dibenarkan memohon lanjutan tempoh pajakan lebih awal tanpa perlu menunggu sehingga baki pajakan kurang daripada 10 tahun.

Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari, berkata cadangan itu antara tawaran diketengahkan menerusi manifesto Aspirasi Melaka Rumah Kita bagi memberikan lebih kepastian kepada pemilik tanah di negeri itu.

"Bagi pemilikan tanah pula, PH mengemukakan cadangan membenarkan lanjutan tempoh pajakan lebih awal tanpa perlu menunggu sehingga baki pajakan kurang daripada 10 tahun," katanya pada sidang media PH di Bilik Gerakan PH, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong, calon PH Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong, Poo Long Suan dan calon DUN Tanjung Bidara, Mohd Yunazri Mustamiri.