Kedua-dua laluan NKVE KM 9.1 hingga KM 9.4 antara Setia Alam dan Shah Alam ditutup sementara akibat banjir kilat. Kenderaan dilencong ikut Elite dan Setia Alam.
KUALA LUMPUR: Kedua-dua laluan di KM 9.1 hingga KM 9.4 antara Setia Alam-Shah Alam Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) ditutup sementara untuk semua kenderaan berikutan tidak boleh dilalui akibat banjir kilat selepas hujan lebat pada 6.20 petang semalam.
PLUS Malaysia Berhad dalam kenyataan hari ini memaklumkan sebagai langkah keselamatan segera, kenderaan dari arah Subang menghala ke selatan dilencong keluar dari NKVE melalui Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite).
“Sementara itu, kenderaan dari arah Bukit Raja yang menghala ke utara pula dilencongkan keluar dari NKVE di Persimpangan Bertingkat Setia Alam,” menurut kenyataan itu.









