KUALA LUMPUR: Kejelasan matlamat projek, kesediaan pelaburan dan daya maju komersial menjadi pemangkin dalam merealisasikan potensi tenaga boleh baharu ASEAN menerusi pembangunan hubungan bekalan elektrik rentas sempadan yang mampan, menurut Tenaga Nasional Bhd (TNB).
Ketua Pegawai Grid TNB, Datuk Ir. Hasmarizal Hassan, berkata projek kesalinghubungan tenaga serantau juga harus disokong oleh kajian kebolehlaksanaan yang menyeluruh, penggunaan teknologi sesuai, komitmen pembeli elektrik serta penetapan peringkat keputusan pelaburan yang jelas bagi memastikan kemampanan untuk jangka yang panjang.
Berikutan itu, katanya, sebarang risiko berkaitan projek seumpamanya perlu ditangani secara berperingkat sebelum keputusan pelaburan muktamad diambil dengan kos elektrik yang kompetitif kekal menjadi pertimbangan utama dalam menentukan kebolehlaksanaan komersial projek serta keupayaan untuk mendapatkan pembiayaan.










