Kuala Lumpur: Petugas media mula berkumpul di luar kediaman bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Jalan Langgak Duta, Taman Duta, di sini, susulan jangkaan pembayaran denda RM50 juta bagi membolehkannya menjalani baki hukuman penjara secara tahanan rumah.
Tinjauan di lokasi setakat jam 1 tengah hari mendapati, lebih 10 petugas media bersama kamera dan peralatan rakaman berada di tepi jalan berhampiran kediaman berkenaan bagi mengikuti perkembangan terkini.
Sebuah kereta berwarna hitam, dipercayai pihak yang rapat dengan Najib, turut dilihat keluar dari kawasan kediaman itu jam 12.35 tengah hari, namun identiti individu di dalam kenderaan berkenaan tidak dapat dipastikan.
Bagaimanapun, suasana di sekitar kediaman itu masih tenang tanpa sebarang pergerakan luar biasa atau kawalan khas polis yang kelihatan.








