KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa mendedahkan Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) yang ditandatangani 13 Ahli Parlimen pembangkang pada 31 Oktober lalu, khususnya membabitkan jumlah peruntukan, kaedah penyaluran serta pelaksanaannya.
Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata pendedahan itu penting bagi memastikan ketelusan dan kebertanggungjawaban kerajaan memandangkan 62 Ahli Parlimen pembangkang lain tidak menerima tawaran untuk CSA.
Beliau berkata, tindakan itu perlu seperti pernah diamalkan menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara Kerajaan Persekutuan dengan Pakatan Harapan (PH) pada September 2021.
"MoU ditandatangani pada 13 September 2021 itu secara jelas menetapkan kandungannya perlu didedahkan sepenuhnya kepada umum sebagai komitmen terhadap keterbukaan.










