KUALA LUMPUR: Kerajaan menerusi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN) diminta mengkaji semula kadar insentif Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM), khususnya bagi atlet yang meraih kejayaan dalam acara berpasukan.

Presiden Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Sumali Reduan berkata, jurang ganjaran terlalu besar antara pemenang pingat emas acara individu yang menerima RM80,000 berbanding RM15,000 bagi setiap atlet dalam acara berpasukan perlu diberi perhatian.

Menurutnya, luahan tekong utama negara, Syahir Rosdi yang terkilan dengan jumlah insentif diterima selepas membantu skuad sepak takraw negara meraih emas berpasukan di Sukan Asia Aichi-Nagoya selepas 36 tahun seperti dilaporkan media, mempunyai asas dan wajar dipertimbangkan.