KUALA LUMPUR: Malaysia mencatatkan peningkatan terbanyak dalam keterangkuman kewangan antara semua pasaran di peringkat global dengan lonjakan enam anak tangga ke kedudukan ke-15.

Data berkenaan berdasarkan Indeks Keterangkuman Kewangan Global 2026 oleh Principal Financial Group dan Centre for Economics and Business Research (Cebr).

Principal Asset Management Bhd menyatakan, skor keseluruhan keterangkuman kewangan Malaysia meningkat sebanyak 5.0 mata tahun ke tahun kepada 58.2, jauh mengatasi purata global sebanyak 52.0 daripada 100 mata.

Malaysia melonjak enam anak tangga bagi kedudukan ke-13 bagi sokongan sistem kewangan dengan peningkatan skor sebanyak 8.1 mata kepada 59.5, berbanding purata global sebanyak 55.3 dan purata serantau Asia Tenggara sebanyak 45.6.