Kuala Lumpur : Penyertaan dalam program realiti Kilauan Emas Selebriti ternyata membawa tuah dan membuka lembaran rezeki baharu buat pelakon veteran, Khaty Azian apabila kini dihujani pelbagai tawaran kerja termasuk undangan nyanyian di majlis perkahwinan.

Khaty, 60, atau nama sebenarnya Norazian Salehan, berkata rezekinya dalam bidang seni kini semakin rancak bukan sahaja menerusi tawaran persembahan pentas, malah turut menerima limpahan tawaran membuat ulasan produk (review) di platform media sosial.

"Alhamdulillah, baru-baru ini pun ada undangan menyanyi di sebuah majlis bersama Zila Bakarin. Bagi saya, di mana-mana pun ada rezeki kita.

"Selain menyanyi, tawaran untuk buat ulasan produk juga banyak masuk dan saya sangat bersyukur," katanya kepada Harian Metro.