Kuala Lumpur: Tindakan undang-undang boleh diambil terhadap penjenayah siber yang beroperasi di luar negara, sekiranya jenayah dilakukan membabitkan sistem di Malaysia atau mangsanya merupakan warganegara Malaysia.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, peruntukan Fasal 2 Rang Undang-Undang (RUU) Jenayah Siber 2026, membolehkan tindakan undang-undang dikenakan terhadap pelaku di luar negara seolah-olah kesalahan berkenaan dilakukan di Malaysia.

"Kerajaan menggunakan mekanisme kerjasama antarabangsa yang sedia ada untuk memastikan penjenayah luar negara dapat disiasat, didakwa dan jika memenuhi syarat, diekstradisi ke Malaysia," kata Ahmad Zahid dalam jawapan bertulis di laman rasmi Parlimen.