Kuala Lumpur: Petarung muay thai negara, Ahmad Nor Iman Aliff Rakib percaya insiden kegagalan ujian hidrasi yang menimpa rakan senegara, Mohammad Rifdean Masdor tidak akan berulang menjelang pertarungannya merebut gelaran dunia ONE Championship pada 18 Disember ini.
Aliff berkata, pengalaman Rifdean yang gagal melepasi ujian hidrasi sebelum berdepan jaguh Jepun, Nadaka Yoshinari di ONE SAMURAI 4, Tokyo, bulan lalu menjadi pengajaran penting buat semua petarung negara.
Rifdean tetap dibenarkan bertarung, namun tidak layak merebut gelaran dunia kategori atomweight sebelum tewas menerusi TKO pada pusingan kedua.
Mengulas perkara itu, Aliff mengakui dirinya juga pernah berdepan masalah sama ketika pertarungan pertamanya dalam acara besar ONE Championship, sekali gus menjadikan pengalaman berkenaan sebagai iktibar untuk lebih berdisiplin dalam persiapan.








