KUANTAN: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang menggagalkan cubaan menyeludup masuk 5.13 kilogram serbuk putih dipercayai Etomidate yang dianggarkan bernilai RM769,500 dalam satu operasi di sebuah pusat kurier di Shah Alam, Selangor, awal September lalu.

Rampasan itu dilakukan kira-kira pukul 12.05 tengah malam oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Penguatkuasaan JKDM Kuantan selepas mengesan penghantaran mencurigakan hasil risikan serta maklumat orang awam.

Pengarah JKDM Pahang, Mohd. Asri Seman berkata, pemeriksaan terhadap bungkusan berkenaan membawa kepada penemuan satu paket lutsinar yang mengandungi serbuk putih seberat 5.13 kilogram, namun diikrar sebagai asid.

Katanya, hasil pemeriksaan awal mendapati bahan berkenaan dipercayai Etomidate yang dihantar dari India dengan melalui China sebagai negara transit sebelum memasuki Malaysia.