KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki warga China mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan membenarkan empat pendatang asing tanpa izin (PATI) dari negara sama menaiki kenderaan dipandunya, bulan lalu.

Tertuduh, Tuo Zhibo, 39, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd. Zul Zakiqudin Zulkifli.

Prosiding mahkamah berlangsung dengan bantuan jurubahasa bagi menterjemah pertuduhan ke dalam bahasa Mandarin. Mahkamah menetapkan 10 November ini untuk sebutan fakta kes dan hukuman terhadap tertuduh.

Mengikut pertuduhan, Tuo Zhibo sebagai individu yang mempunyai kawalan terhadap sebuah kenderaan jenis Toyota Innova didakwa membenarkan empat PATI warga China memasuki dan menaiki kenderaan dipandunya.