GEORGE TOWN : Seorang akauntan mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii terhadap seorang wanita tanpa kerelaan mangsa, tahun lepas.
Tertuduh, Then Zi Quan, 34, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Irwan Suainbon.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan tersebut terhadap seorang wanita berusia 25 tahun di sebuah unit kediaman di Ideal Residency, Jalan Lembah, Kampung Kastam, di sini, kira-kira pukul 4.15 petang pada 24 Ogos 2025.
Atas kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun selain boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.








