KUALA LUMPUR: Ketiadaan Menteri dan Timbalan Menteri Kesihatan ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan Ahli Parlimen pembangkang apabila soalan berhubung keperluan menambah kemudahan kesihatan di Wangsa Maju tidak dapat dijawab.
Perkara itu dibangkitkan selepas Timbalan Yang Dipertua, Alice Lau meminta Zahir Hassan (PH-Wangsa Maju) untuk bertanya soalan ketiga kepada Kementerian Kesihatan (KKM) seperti yang tertera dalam Aturan Urusan Mesyuarat.
Zahir meminta penjelasan sama ada KKM bercadang meningkatkan kapasiti perkhidmatan kesihatan primer termasuk membina atau menaik taraf klinik kesihatan di kawasan Parlimen berkenaan.
Menurutnya, Wangsa Maju merupakan kawasan Parlimen yang mempunyai kepadatan penduduk tertinggi di Malaysia, iaitu 14,059 orang bagi setiap kilometer persegi, sekali gus memerlukan kemudahan kesihatan yang lebih mencukupi.








