KUALA LUMPUR: Beberapa Ahli Parlimen pembangkang mempertikaikan ketidakhadiran Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan timbalannya, Datuk Hanifah Hajar Taib untuk menjawab soalan pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Ketidakhadiran mereka disedari selepas Timbalan Yang Dipertua, Alice Lau meminta Zahir Hassan (PH-Wangsa Maju) untuk bertanya soalan ketiga kepada Kementerian Kesihatan seperti yang tertera dalam Aturan Urusan Mesyuarat.

"Bagi soalan nombor tiga, Yang Berhormat Menteri dan Timbalan Menteri tiada dalam Dewan," katanya dan seterusnya meminta Datuk Wan Saifulruddin Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) untuk mengemukakan soalan seterusnya.

Zahir kemudian bertanya sama ada beliau boleh mengemukakan soalan selepas Dr Dzulkefly atau Hanifah Hajar masuk ke dalam Dewan, namun Alice menegaskan ia tidak dibenarkan.