Kuala Lumpur: Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan (SPK) yang dicadangkan tidak mempunyai kuasa untuk mewujudkan jawatan baharu atau merangka sistem saraan, termasuk menetapkan kadar emolumen yang lebih kompetitif.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata kedua-dua perkara itu kekal di bawah bidang kuasa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan (MoF).
Katanya, SPK yang dicadangkan akan mempunyai kuasa selaras dengan Perkara 144 Perlembagaan Persekutuan.
"Ia termasuk melantik, mengesahkan dan memasukkan ke dalam perjawatan tetap atau perjawatan berpencen, menaikkan pangkat, menukar dan menjalankan kawalan tatatertib ke atas anggota bagi perkhidmatan atau perkhidmatan yang diliputi oleh bidang kuasanya," katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.









