Kuala Lumpur : Pelakon baharu, Dai Fuad, 34, mengakui sedia menerima kecaman dan kritikan pedas netizen terhadap lakonannya yang membawa watak antagonis sekali gus memicu kemarahan ramai.

Ujar Dai Fuad atau nama sebanar, Muhammad Fuad Abd Rahman, dia selesa mengambil pendekatan terbuka bahawa setiap kecaman dan kritikan itu bukan untuk melemahkan, tetapi teguran memperbaiki ke arah lebih baik.

"Kalau berkaitan kecaman dan kritikan netizen di media sosial terhadap lakonan saya, terima sahajalah. Sebab, dari sudut pandang saya mungkin lakonan sudah bagus, tetapi penerimaan orang pasti lain. Jadi, kita cuba perbaiki.

"Saya juga tidak akan berbalah dengan netizen, itu buang masa. Lagi pun, semua orang berhak kongsi pandangan masing-masing di media sosial. Sekarang, cara komunikasi kita sudah sangat terbuka," katanya kepada Harian Metro.