NUREMBERG (Jerman): Pihak polis dan pegawai kastam Jerman menemukan 300 kilogram kokain dalam kotak pisang di pasar borong bandar Nuremberg, selatan negara itu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Pejabat Polis bahagian Jenayah Negeri Bavaria (LKA) di Munich pada Rabu memaklumkan dadah yang dirampas dianggarkan bernilai kira-kira €20 juta (US$22 juta) mengikut harga pasaran.

LKA berkata, pengurusan pasar borong berkenaan menghubungi polis pada Isnin susulan cubaan pecah masuk.

Susulan kejadian itu, pemeriksaan dijalankan terhadap kotak pisang yang sedang disediakan untuk dihantar kepada peruncit makanan.