KEHADIRAN Ketua Hakim Negara, Tun Wan Ahmad Farid Wan Salleh ke Universiti Utara Malaysia (UUM) pada 2 November lalu detik amat bermakna dalam sejarah pengembangan wacana ilmu di universiti ini.

Melalui Syarahan Kehormat bertajuk Public Trust and Judicial Independence: Why It Matters to the Nation di Dewan Mu'adzam Shah, UUM bukan sahaja menerima kunjungan tokoh tertinggi institusi kehakiman negara, malah memperoleh peluang istimewa untuk meneliti persoalan yang menyentuh asas keadilan, demokrasi dan masa depan Malaysia.

Majlis anjuran Pusat Pengajian Undang-Undang (SOL), UUM ini bertambah istimewa dengan keberangkatan Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin.

Turut hadir ialah Hakim Utama Mahkamah Tinggi Alor Setar, Dr John Lee Kien How @ Muhammad Johan Lee; Pengerusi Lembaga Pengarah UUM, Tan Sri Dr Mazlan Yusoff; warga universiti, ahli akademik, mahasiswa dan tetamu kehormat.