Kuala Lumpur: Malaysia bakal membentangkan satu dokumen perbincangan tidak rasmi berkaitan jerebu rentas sempadan pada Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Asean di Manila, Filipina, 14 November hadapan.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, cadangan itu bertujuan mewujudkan satu rangka kerja bagi membolehkan negara-negara anggota Asean saling membantu antara satu sama lain setiap kali bencana kebakaran hutan atau jerebu melanda rantau ini.
"Saya akan membawa satu `non-paper' dan bukannya sebagai agenda rasmi memandangkan agenda Asean bagi mesyuarat itu sudah pun ditetapkan.
"Saya merancang untuk mencadangkan perbincangan mewujudkan satu rangka kerja yang teratur bagi menangani isu jerebu rentas sempadan. Ini supaya negara anggota Asean dapat menyokong satu sama lain apabila berlaku kebakaran hutan atau jerebu yang menjejaskan rantau kita," katanya ketika menggulung perbahasan Bajet 2027 bagi kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini.










