Georgetown: Kerajaan Pulau Pinang membatalkan 27,734 kompaun parkir menggunakan Sistem Pengecaman Nombor Plat Automatik (ANPR), dan mengembalikan kompaun yang sudah dibayar berjumlah RM203,170.

Langkah itu diambil berikutan operasi pelaksanaan ANPR dihentikan serta-merta Ogos lalu.

EXCO Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri, H'ng Mooi Lye berkata, pelaksanaan ANPR di bawah Penang Smart Parking (PSP), adalah termasuk skop kontrak sedia ada antara Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) bersama Syarikat HeiTech Padu (HTP).

Katanya, oleh itu tiada kos pembangunan, perolehan, operasi dan penyelenggaraan ditanggung MBPP dan MBSP kerana kos pelaksanaan ditanggung sepenuhnya oleh HTP.