MELAKA: Kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke beberapa lokasi sekitar Melaka hari ini, menyuntik semangat Pakatan Harapan (PH) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Sabtu ini.

Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari, berkata kehadiran Anwar pada hari keenam kempen, mampu meningkatkan momentum calon dan jentera gabungan itu dalam meneruskan usaha mendekati pengundi.

"Jabatan Pilihan Raya PH (JPPH) mengalu-alukan kehadiran Anwar selaku Pengerusi PH bagi menyantuni pengundi dan jentera di empat kawasan, iaitu Klebang, Ayer Keroh, Paya Rumput dan Machap Jaya.

"Kami yakin dengan kehadiran berkenaan, beliau akan menyuntik semangat kepada keseluruhan calon dan jentera serta meningkatkan sokongan pengundi kepada aspirasi digagaskan PH demi merealisasikan impian Melaka Rumah Kita," katanya pada sidang media harian PH di Bilik Gerakan Utama PH Bukit Baru di sini, hari ini.