BACHOK: Tradisi seni bina Pantai Timur khususnya di Kelantan, merekodkan kepentingan atap singgora yang dipercayai dibawa masuk ke negeri itu pada abad ke-18.

Berwarna jingga dan tampil dengan rekaan bentuk mirip huruf V disusun secara bertindih, sekali gus menampilkan visual seakan sisik ikan yang cukup artistik. Justeru tidak hairan, satu ketika dulu atap singgora menjadi pilihan golongan bangsawan.

Hari ini meskipun penggunaan bahan binaan moden semakin meluas, atap singgora masih mempunyai peminat tersendiri, terutama dalam kalangan pemilik kediaman, restoran, chalet dan premis perniagaan yang mahu mengekalkan sentuhan tradisional serta nilai estetik pada bangunan mereka.

Kelangsungan warisan itu turut bergantung kepada individu yang masih setia mempertahankan kemahiran pembuatannya, antaranya Noraini Jusoh, 60, yang kini menjadi pengeluar tunggal atap singgora di Kelantan.