Kuala Lumpur: Objek bercahaya yang dilihat meluncur di langit di beberapa negeri malam tadi adalah satelit Neil Gehrels Swift Observatory milik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) yang memasuki semula atmosfera Bumi, bukannya meteor atau tahi bintang seperti sangkaan ramai.

Pakar roket, misil dan objek angkasa, Prof Madya Ir Ts Dr Muhammad Hanafi Azami berkata, kemungkinan itu amat tinggi berdasarkan persamaan masa kemunculan objek berkenaan dengan waktu kemasukan semula satelit Swift yang disahkan Angkatan Angkasa Lepas Amerika Syarikat (US Space Force).

Katanya, sekiranya objek itu disaksikan pada malam tadi, 4 November sekitar 8.35 hingga 8.45 malam, ia bertepatan dengan waktu satelit berkenaan memasuki atmosfera Bumi pada jam 8.39 malam waktu Malaysia.