Kuala Lumpur: Gandingan beregu lelaki negara, Aaron Tai-Yap Roy King menempah slot ke separuh akhir Masters Kumamoto selepas menundukkan wakil Taiwan, Lee Jhe Huei-Yang Po Hsuan, hari ini.

Beregu negara itu tidak berdepan masalah besar untuk menyingkirkan pasangan ranking ke-15 dunia berkenaan menerusi kemenangan straight set 21-16, 21-12 dalam aksi suku akhir yang berlangsung selama 28 minit.

Kemenangan itu menyaksikan Aaron-Roy King terus menghidupkan peluang memburu gelaran pada kejohanan berstatus Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) itu, sekali gus membuktikan kemampuan mereka bersaing dengan pasangan lebih berpengalaman.

Kejayaan melangkah ke kelompok empat terbaik turut meneruskan momentum positif gandingan berkenaan yang sebelum ini mencuri perhatian selepas muncul juara Terbuka Artik pada penampilan sulung mereka sebagai pasangan.