BEIJING: China meluluskan ubat penurunan berat badan GLP-1 pertama dalam bentuk pil yang boleh diambil secara oral, sekali gus membolehkan syarikat farmaseutikal Amerika Syarikat (AS), Eli Lilly memasarkan ubat orforglipron di negara itu.

Kelulusan itu diberikan ketika jumlah penduduk dewasa China yang mengalami berat badan berlebihan atau obesiti dijangka mencecah 630 juta menjelang 2050.

Ubat GLP-1 membantu menurunkan berat badan dengan meniru fungsi hormon semula jadi dalam usus yang mengawal selera makan serta paras gula dalam darah.

Populariti ubat berkenaan meningkat mendadak sejak beberapa tahun kebelakangan ini, mendorong pengeluar farmaseutikal bersaing menghasilkan ubat dalam bentuk pil sebagai alternatif kepada rawatan sedia ada yang memerlukan suntikan.